PAGI
5.50 pagi
Para pelajar bangun untuk
bersembahyang subuh di musalla MRSM PC. Untuk hari-hari tertentu seperti malam Jumaat,
pelajar terlebih dahulu mengadakan qiamullail dan berjaga sehingga ke Subuh. Dalam
lingkungan masa ini juga pelajar bersiap ke sekolah dan mengambil makanan pagi.
7.40 pagi

Kelas formal bermula dari pukul 7.40 pagi sehingga 2.05
petang. Untuk hari Ahad, Selasa dan Khamis 'morning call' ataupun satu perhimpunan ringkas
diadakan di astaka maktab untuk pengumuman tertentu.
Terdapat 9 slot waktu untuk
kelas formal, di mana setiap slot waktu mengambil masa 40 minit. Kelas formal berhenti
selama 25 minit sebagai rehat selepas slot waktu keempat untuk Tingkatan 4 dan slot waktu
kelima untuk Tingkatan 5.
Pada hari Ahad perhimpunan umum
diadakan dua minggu sekali untuk mendengar amanat Tuan Pengetua dan Penolong-penolong
Pengetua. Kelas formal disambung semula selepas waktu rehat.
PETANG
2.05 petang
Selepas pulang dari sekolah,
para pelajar menunaikan solat Zuhur, mengambil makanan tengahari dan berehat seketika
sebelum kelas persediaan pada pukul 3.15 petang. Untuk Tingkatan 5, kelas tambahan
diadakan pada waktu petang untuk memastikan kekukuhan dalam memahami dan mengingati isi
pelajaran. Kelas persediaan berakhir dengan masuknya waktu Asar.
5.30 petang

Padang maktab dipenuhi dengan
pelajar yang giat bersukan. Contoh permainan pelajar ialah bola sepak, bola jaring, bola
tampar, sepak takraw dan bola keranjang. Dewan Selera pula dibuka pada pukul 6.00
petang sehingga 7.00 petang untuk makan malam.
MALAM
7.15 malam
Para pelajar menunaikan solat Maghrib berjemaah di musalla
MRSM PC. Antara pengisian yang dilakukan di musalla sebelum kelas persediaan pada 8.15
malam ialah bacaan Yassin, solat hajat dan tazkirah.
10.00 malam
Selepas prep malam, makan lewat
malam akan disediakan di Dewan Selera. Para pelajar juga akan menunaikan sembahyang Isyak
di musalla sebagai aktiviti harian terakhir sebelum kembali ke asrama. Pelajar putera
dibenarkan mengulangkaji di blok akademik sehingga jam 12.00 tengah malam sebelum kembali
ke asrama. |